Thursday, January 7, 2010

Panau...

Tatkala saya bersiar-siar di sebuah kampung di sebuah pulau di mana saya sedang bercuti, saya terserempak dengan beberapa orang kanak-kanak sedang bermain lari-larian sesama sendiri. Saya menghampiri mereka untuk bertanya di manakah lokasi kedai yang paling dekat. Salah seorang dari mereka dengan baiknya menunjukkan arah kedai tersebut. Tetapi saya tidak dapat menumpukan perhatian terhadap apa yang diucapkan oleh kanak-kanak tersebut kerana mata saya asyik tertumpu kepada tompok-tompok berwarna putih yang berada di seluruh tubuh badannya meliputi muka, leher, tangan hingga ke kaki. Nampak seperti tompok-tompok telah merebak dengan teruk ke tubuh kanak-kanak tersebut.Tompok-tompok itulah sebenarnya yang di panggil panau.

Saya amat kasihan dengan kanak-kanak tersebut. Saya rasa bagai nak memarahi kedua ibubapanya kerana tidak berusaha untuk mengubati penyakit kulit anaknya itu. Mungkin sebab saya sangat-sangat bencikan panau. Waktu anak sulung saya masih bayi, tengkuknya pernah dijangkiti panau. Saya sangat susah hati lalu pergi ke klinik untuk mendapatkan rawatan. Doktor tersebut telah memberikan saya sejenis krim yang berharga hanya tiga ringgit dan saya segera mengubati anak saya. Selang seminggu panau tersebut hilang dan saya sangat gembira sekali.

Sungguh mudah sahajakan nak menghilangkan panau. Kenapa mereka begitu tergamak membiarkan kulit kanak-kanak tersebut dijangkiti parasit kulit itu. Walaupun tidak merbahaya tetapi ia boleh menyebabkan kegatalan dan mencacatkan warna kulit.

Sebenarnya panau berpunca dari sejenis kulat atau fungus yang tidak berbahaya yang aggresif di mana ia mudah membiak kerana faktor cuaca yang panas dan lembab. Organisma ini dipanggil Pityrosporum Orbiculare atau Malassezia Furfur.

Biasanya panau berbintik-bintik putih dan berkeruping. Tetapi terdapat juga panau yang berbintik-bintik hitam atau coklat. Pertukaran warna kulit itu di sebabkan terdapat sel-sel melanocyte yang tidak mengeluarkan warna dan ada yang mengeluarkan warna lain. Tetapi kebanyakannya mengeluarkan warna putih dan berbentuk bulat dan bertompok-tompok.

Biasanya orang yang menitikkan soal kebersihan jarang mendapat penyakit ini. Tetapi ia tidak mustahil kerana sesetengah orang yang mendapat panau adalah kerana faktor keturunan. Mereka alah pada kulat atau fungus tersebut dan ini akan menyebabkan mereka terkena jangkitan.

Jika anda atau keluarga anda dijangkiti fungus ini segera mendapatkan rawatan doktor. Jangan tunggu sehingga ia merebak dengan banyak kerana ia memerlukan masa selama 2 hingga 3 bulan untuk dipulihkan. Doktor akan memberi krim sapu atau ubat makan. Krim sapu tersebut mengandungi bahan aktif seperti Azole selenium disulfida dan Natrium tiosulfat. Walaubagaimanapun cubalah hindari penyakit tersebut dengan kerap membersihkan diri anda dengan sabun dan memakai pakaian yang bersih.
















Kulat Pityrosporum Orbiculare, yang menyebabkan panau.






















Tompok-tompok panau.

No comments:

Post a Comment