Salam....
Baru-baru ni kita di kejutkan dengan kematian artis yang meninggal secara mengejut kerana serangan penyakit jantung. Walaupun pelakon artis tersebut masih muda tapi penyakit jantungan ini tidak mengenal mangsanya... tak kita tua atau muda... miskin atau kaya... setiap orang berkemungkinan menghadapi risiko penyakin jantung jika alpa dan tidak menjaga kesihatannya.....
Menurut kajian Unit Kardiologi Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) yang dijalankan Perunding Kardiologi PPUM, Dr. Ahmad SyadiMahmoos Zuhdi, 20 peratus pesakit jantung terdiri daripada mereka yang berumur 40 tahun ke bawah.
Hasil kajian juga menunjukkan lebih 95 peratus terdiri daripada lelaki.
Pakar Perunding Kardiologi, Pensyarah Kanan PPUM, Dr. Zul Hilmi Yaakob memberitahu, kajian itu bertujuan membuat perbandingan antara statistik pesakit muda dan tua.
Statistik itu menunjukkan pesakit yang berumur 40 tahun ke bawah meningkat.
“Kebanyakan pesakit mempunyai gaya hidup yang tidak baik termasuk aktif merokok. Pesakit juga tidak tahu bahawa mereka menghidap sakit jantung sehinggalah pemeriksaan dibuat.
Ada juga pesakit menganggap sakit dada sebagai penyakit biasa kerana tidak menyangka ia sebenarnya sakit jantung sebab umur masih muda,” ujarnya.
Justeru itu, beliau menasihatkan orang ramai menjalankan gaya hidup sihat, berhenti merokok dan segera membuat pemeriksaan di bahagian kecemasan hospital jika tiba-tiba mengalami sakit dada.
Sementara itu, menurut statistik Kementerian Kesihatan Malaysia, akibat tidak bersenam dan gagal mengamalkan gaya hidup sihat dipercayai menjadi faktor bilangan penghidap penyakit jantung yang baru mencecah sehingga 38,000 orang setiap tahun.
Jumlah tersebut menggambarkan penyakit jantung sebagai penyumbang kematian terbesar di hospital-hospital kerajaan iaitu 7,597 kematian atau sebanyak 16.54 peratus daripada keseluruhan 45,936 jumlah kematian yang dicatatkan pada 2008.
Di Malaysia terdapat seramai 141 orang menghidap penyakit jantung koronari bagi setiap 100,000 orang setiap tahun iaitu bersamaan 38,000 kes baru setiap tahun.
Pemeriksaan kesihatan
Terdapat beberapa simptom jika seseorang itu diserang sakit jantung, antaranya ialah:
* Rasa tidak selesa pada dada. Pesakit seolah-olah merasakan ada sesuatu yang menekan.
* Rasa sakit ini kemudiannya menular ke leher seolah-olah ada sesuatu yang mencekik.
* Rasa lenguh pada lengan terutama ketika bekerja atau melakukan sesuatu aktiviti, bagaimanapun rasa lenguh ini akan hilang apabila pesakit berehat
* Sukar bernafas seolah-olah ada sesuatu yang menikam pada dada
* Pedih perut iaitu seperti ada angin atau menghidap gastrik.
* Kepala berpusing
* Badan lemah serta berpeluh sejuk.
Dr. Zul Hilmi menasihatkan agar mereka yang mempunyai simptom-simptom tersebut supaya tidak membiarkan sehingga ke peringkat yang serius.
“Hampir sebahagian besar pesakit tidak mengendahkan simptom-simptom tersebut dengan alasan ia tidak serius. Apa yang perlu, jika anda mengalami simptom tadi, lakukan pemeriksaan kesihatan segera,” jelasnya.
Bagaimanapun, sikap tersebut merugikan kerana rawatan yang diberikan bergantung kepada tahap serius penyakit yang dihidapi.
SUMBER : UTUSAN
No comments:
Post a Comment